Majoriti
manusia, termasuk saya, berada di dalam kategori manusia iman turun naik, dan
hati sentiasa dirasuk bisikan syaitan dan nafsu ketika mahu melakukan kebaikan.
Untuk mengatasi kemelut ini, saya kongsikan tiga tips terulung untuk
bersedekah, mudah-mudahan dapat dikongsi dan dimanfaatkan :
1. Biarkan
mata tembusi kulit
Setiap kali
didekati peminta sedekah, kita akan automatik membiarkan mata menghukum. Comot
atau tidak, janggut dan misai terurus, berselipar atau berkaki ayam. Daripada
'hukum pandang pertama' tersebut syaitan memanipulasi hati dan melontarkan
prasangka - jijik, sindiket, penipu. Lain kali, apabila didekati peminta
sedekah, khususnya yang meminta makanan, biarkan mata menembusi kulit dan
pemandangan, terus ke dalam.
Setiap batang
tubuh, tidak kira rupa dan imej, ada perut yang pandai lapar, hati yang pandai
gundah, otak yang pandai runsing. Kalau perut kita berisi, hati lapang dan
anak-anak gembira, biarkan prasangka diganti 'rasa', dan ikut naluri fitrah
yang sentiasa mendorong melakukan kebaikan.
2. Belikan
keperluan selagi terdaya
Satu cara
mengelakkan diri 'ditipu' atau bersangka-buruk, ialah dengan cara meluangkan
sedikit masa memberikan keperluan mereka yang meminta secara terus. Muhammad,
di dalam gambar, 'budak roti Gaza', menemui saya menjual belon mencari wang
untuk membeli roti untuk keluarganya. Kerana ada ramai 'budak roti' sepertinya,
saya suka untuk terus membawa beliau ke kedai, membelikan roti, makanan dan
keperluan lain, dan tidak memberikan beliau wang.
Selagi mampu,
sedekahkan sedikit masa, belikan makanan untuk yang lapar meminta makanan,
jenguk farmasi dan belikan ubat berkenaan untuk yang menghulur rekod kesihatan.
Sangka buruk hilang, peminta pun senang.
3. Sedekah
ketika muflis paling banyak berkatnya
Bersedekah,
yang paling berkat, ialah ketika terasa sempit dan memerlukan. Ada yang bergaji
puluhan ribu, rasa tidak cukup berbanding mereka yang bergaji seribu dua.
Berkat, bukan pada yang banyak, tetapi pada yang menggunakan kurnia pada jalan
dan cara yang tepat. Dan sedekah, adalah cara paling mudah membuka pintu rezki
dan menambah keberkatan, khususnya ketika terasa diri memerlukan. Bukankah
rezki milik Tuhan?
Petua-petua
ini, adalah hasil duduk fikir setelah bertemu Muhammad, antara 'budak roti'
yang ramai di Gaza, mereka kerap meminta, pakaian kusut-masai, kisah hidup
mengoyak hati.
Ringkasnya,
pandanglah insan dengan pandangan ihsan, luangkan sedikit masa membelikan
keperluan, yakinlah rezki daripada Tuhan, nescaya bersedekah, tidak terasa
seperti beban!
Penulisan
dalam gundah memikirkan bantuan untuk 10 buah keluarga miskin yang diusulkan
nama mereka kepada NGO semalam. Jumlah bantuan sebanyak RM700 diperlukan untuk
setiap keluarga, menjadikan jumlah yang diperlukan sebanyak RM7000.
Salurkan
sumbangan ke akaun rasmi Cinta Gaza Malaysia, akaun Maybank 5648 1050 7826. Dan
bantu kami sebarkan.
From Gaza
With Love