Anak pertama
saya bernama Orked. Lahir pada 20 Ogos 2008. Permata hidup saya dan isteri.
Masih teringat panggilan telefon dari isteri mengatakan
Orked jatuh dari walker dan dikejarkan ke hospital dan menerima 5 jahitan di
dahi cukup buat jantung terasa nak gugur. Anak ini mahu kami jadikan istimewa
sekali.
Sudah 5
tahun berlalu, saat kelahiran Orked. Dalam hati saya telah saya fikirkan biarlah
anak ini membesar menjadi pembela dan serikandi agama, nusa & bangsa.
Semenjak umur 2 bulan, Orked diletakkan di bawah penjagaan ibu-ibu, bapa-bapa
dan adik beradik asnaf dan yatim di RUmah Pengasih Warga Prihatin setiap hari
dan hanya pulang ke rumah pada malam hari sahaja. Saya menerima tentangan dari
beberapa orang rapat saya mempersoalkan mengapa saya korbankan kehidupan anak
itu di tempat anak yatim dan asnaf yang serba kekurangan itu?
Saya tetap
berpegang, untuk anak ini belajar menjadi yang istimewa. Jika pembentukannya
sama seperti orang lain, masakan ia mampu jadi pembela luar biasa kelak. Tiada
Barbie Doll, Hello Kitty, Dora, Barney dan apa-apa lagi ikon kanak-kanak yang
menjadi aksesori permainan Orked. Hanya mainan terpakai sahaja yang ada.
Zaman
kanak-kanak Orked dan rakannya seperti telah berakhir dengan cepat. Orked kata
dia nak jadi "Kakak Besar". Dalam roll call dan juga ikrar harian,
Orked sering memberitahu yang ia mahu cepat-cepat besar dan menjadi seorang
yang hebat pada masa akan datang. Orked kadangkala nak jadi seorang Doktor,
kadangkala nak jadi seorang Pensyarah seperti ibunya dan adakala nak jadi
seorang usahawan seperti bapanya. Tetapi apapun cita-citanya, apabila ditanya
apa yang mahu dibuat dengan kerja-kerja itu, Orked menjawab Orked mahu TOLONG
ORANG SUSAH.
JIWA
SUKARELAWAN
Terus
terang, ia bukan perkara mudah untuk saya sendiri mendapatkan sedikit jiwa
sukarelawan yang sanggup bersusah payah untuk orang lain ini. Ia terbentuk dari
ibu dan juga ayah saya. Saya akui juga tidak mudah untuk saya didik isteri saya
untuk mendapatkan jiwa sukarelawan seperti sekarang. Ia berlaku peringkat demi
peringkat. Rupanya, anak saya mendapatkannya dengan mudah semenjak dari kecil
lagi melalui lingkungannya di Prihatin.
Hadiah
Harijadi ke-5 ini, Orked hanya minta diizinkannya untuk menyerahkan kesemua
duit raya dan tabungannya itu kepada Mak Sofiah Wali (salah seorang ibu asnaf
di Prihatin) bagi menampung kos pembedahan lutut beliau.
Sebagai
bapa, saya tersentuh dengan izin yang diminta itu. Apa lagi yang saya mahukan
dari seorang anak? saya ada harta yang cukup, saya mampu berikan anak saya
kemewahan tetapi jiwa murni atas niat membantu orang lain sehingga
berhabis-habisan itu satu perkara yang paling indah dalam hidup saya.
Saya mampu
bawa Orked ke Disneyland setiap tahun, saya mampu bawa Orked melancong ke luar
negara, saya mampu bawa Orked membeli belah pakaian berjenama, saya mampu
belikan koleksi Mattel Barbie Doll, saya mampu bawa Orked ke Kidzania setiap
minggu, saya mampu bawa Orked makan makanan terbaik di Kuala Lumpur tetapi jiwa
luhur begitu tak mungkin saya dapati pada diri anak kecil itu jika saya berikan
kesemua yang saya sebutkan itu.
Orked hanya
mengikuti rombongan berziarah Warga Emas di Melaka, Perak dan Selangor
sementara rakan yang semampu bapanya sedang bercuti di Disneyland. Orked pakai
pakaian dari kotak-kotak yang disumbangkan oleh orang ke Prihatin sebagai
pakaian yang disukai (jika dibelikan yang elok dan baru, dia jadi malu kerana
tak sama dengan rakan lain), Orked makan nasi kawah beras hancur bersama
anak-anak yatim dan asnaf yang daif ketika rakan semampunya sedang menikmati
makanan di McDonald's dan A&W. Memang sebagai bapa saya kena tahan hati
dengan semua itu.
Orked
berkawan dengan orang-orang kurang bernasib baik dan saya bersyukur, itulah
sumber keprihatinan Orked. Lingkungan Orked bukan kemewahan harta, permainan,
baju berjenama tetapi kasih sayang dan ilmu.
Sebesar 5
tahun juga, Orked sudah kenal nilai wang ringgit. Tetapi saya bersyukur kerana
Orked lebih menilai kemanusiaan berbanding nilai ringgit itu untuk dirinya.
Orked saya didik menabung dari umur 3 tahun dan saya berikan Orked inspirasi
untuk dia kumpulkan wang bagi membeli sesuatu yang dia mahukan. Orked mahukan
sekeping puzzle besar 1000 potongan yang berharga lebih RM100. Saya mampu
belikannya tetapi saya mahukan Orked merasakan sendiri itu adalah hasil
simpanannya sendiri.
Benar, saya
mampu mendidik anak saya menabung dan berjimat, tetapi saya lebih bersyukur
kerana pelajaran yang terbesar bukan hanya sikap menabung itu. Saya terlupa
ajarkan Orked sesuatu yang lebih berharga sehingga ia terjadi sendiri di
hadapan mata saya. Selepas izin diberi, Orked dan sekumpulan kawan sebayanya di
Prihatin membawa wang tabungan masing-masing dan membuat penyerahan kepada Mak
Sofiah yang akan menjalani pembedahan keduanya minggu hadapan.
Ketika itu
saya sedar, dan saya senyum dan tidak salahlah saya meletakkan anak saya
membesar di Rumah itu. Sebuah rumah yang kelihatan kekurangan sarananya tetapi
kaya dengan kasih sayang. Antara impian peribadi dan kasih sayang, mereka pilih
kasih sayang. Saya mahu Orked begini. Jikalah Orked memilih untuk kemahuan
peribadi berbanding kasih sayang, saya rasa hampir pasti saya dan isteri akan
mengakhiri hayat di rumah jagaan orang-orang tua. Tetapi jika Orked meletakkan
kasih sayang melebihi kepentingan peribadi, saya dan isteri mampu tarik nafas
lega.
Air mata
mengalir melihat proses kedewasaan anakku yang baru berusia 5 tahun pada hari
ini. Hanya satu hadiah harijadi yang diminta sebelum harijadinya. Bukannya
permainan mahal, bukannya kek bertingkat, bukan juga trip ke Disneyland tetapi
HANYA keizinan untuk memberikan keseluruhan tabungannya kepada orang yang lebih
memerlukan. Walaupun tindakan itu terpaksa mengorbankan impiannya sendiri.
Saya hanya
mampu ajar Orked menabung, tetapi di Prihatin, Orked belajar tentang nilai
kasih sayang dan kemanusiaan.
Kita
kadangkala lupa, dunia jadi huru hara apabila "Kasih sayang" menjadi
lebih murah berbanding "agenda peribadi".
SAIFUL NANG
Daddy Orked.
1 comment:
Tugas kita adalah khalifah Allah. sebarkan dakwah. jadilah manusia berguna kepaa ummat.
Post a Comment